Dekat mana lagi nak mintak tolong kalau bukan dekat Allah. Kata lah kita berdikari berpijak atas kaki sendiri macamana pun. Bila diri susah, hati tak tetap letak tenangnya, memang tak ada pendengar yang sudi mendengar selain Tuhan kita.
Bukan aku nak pesongkan fikiran sesiapa, tapi aku contohnya, satu masa dulu (dan mungkin masih lagi sekarang ini) bukanlah tergolong dalam kumpulan manusia yang takut berbuat dosa, malah pernah satu masa aku bangga. Jadi ada cara apa lain lagi, selain dari berbuat dosa dan paksa diri nilai balik apa dosa itu berbaloi untuk aku buat sekali lagi, atau lebih baik patah balik ke awal jalan?
Aku pilih yang kedua, semoga Tuhan terima apa yang aku unjukkan, dan tetapkan hati dalam pilihan yang aku lakukan.
Nah, itu aku. Aku tak sarankan pada siapa-siapa.
Tetapi bila satu kali jatuh, kau diam. Dua kali jatuh, kau bangkit senyum semula seperti tak ada apa-apa. Tiga kali jatuh, kau mula salahkan semua di depan mata.
Nama nak tanya Yang Di Atas Sana, tak ada.
Tak boleh macam itu, manusia. Memang tak akan datang selonggok keuntungan/kegembiraan/kejayaan depan mata kau begitu saja, memang tak akan ada.
Tuhan itu adil, Dia beri, untuk lihat berapa banyak yang kau sudi pulang balik. Dia ambil, untuk lihat berapa banyak ukuran redha kau atas setiap satu susah, setiap satu hampa, setiap satu kecewa.
Memang susah nak cakap, hati kita tak sama. Aku tak boleh kongsi tenang aku atas tikar sejadah yang aku hanya kenal baru-baru ni. Aku tak boleh kongsi rasa bahagia aku bila mak bapak aku sujud syukur selepas tunggu 24 tahun baru aku nak terhegeh-hegeh buat semua.
Tapi kau patut boleh rasa, bila setiap bahagia yang Tuhan nikmatkan dekat kau itu, walaupun sekejap, ada maknanya. Ada maksudnya. Dan kau juga boleh rasa, atas susah yang Tuhan cuitkan pada kau itu, banyak kegunaannya esok lusa.
Apa yang aku nak cakap sebenarnya, adalah belajar meminta. Dan jangan meminta saja, cuba beri sama. Tuhan tak pernah dan tak akan lokek, walaupun sedikit yang kau bagi balik, Dia kata, "tak apa, tak ada masalah, Aku beri lebih."
Contoh? Senang saja, nafas yang kau hirup setiap saat itu kira nikmat besar dari Dia. Nafas yang kau hirup tak payah dibantu dengan apa-apa bantuan. Kalau nak kira, eh memang tak terkira, berapa ramai yang kalau nak bernafas sampai meminta tolong? Ramai.
Jadi itulah. Bukan niat aku nak mengajar. Aku sendiri tak tersusun lagi langkah. Tapi itu perkara paling asas sekali yang perlu kita semat dekat dada. Masakan kita boleh percaya benda yang lain kalau kenyataan yang satu ini pun susah kita nak terima? Kan?
Satu lagi,
jangan cakap kita dah puas berdoa, tapi Tuhan belum kurniakan. Tuhan dah kurniakan setiap satunya, cuma kita yang belum jumpa.
3 comments:
tuhan dah tunaikan setiap satunya, tapi bukan cara kita minta, kerna yg diminta mungkin bukan yg terbaik.
Yang itu betul. Mungkin aku tersasar sedikit. Terima kasih. :)
i very very the like the new you :')
Post a Comment