Puan Shikin

“ Kalau nak duit, cari ibu. Kalau tak, tak berbunyi langsung.”

Maka tertulis lah derhaka di bahu kiri apabila rasa kecewa keluar meruntun-runtun dari dalam hati, sebaik sahaja aku baca pesanan ringkas ini.

Tetapi patutkah aku biar ibu tahu, kalau dalam ketika dua tiga minggu ini, nombor didail dan apabila terdengar suara lunak itu, aku pasti menangis meraung-raung melalak-lalak kerana tidak tahan diuji tuhan?

Tetapi patutkah aku biar ibu tahu, kalau dalam ketika dua tiga minggu ini, nombor didail dan apabila terdengar suara lunak itu, yang bakal terkeluar hanya keluh lelah aku mengadu betapa jahatnya pusingan hidup?

Tetapi patutkah aku biar ibu tahu, kalau dalam ketika dua tiga minggu ini, nombor didail dan apabila terdengar suara lunak itu, pasti terdengar sesak nafas aku terhimpit perasaan-perasaan sendiri yang sudah sedia zalim?



Langsung tidak ada sekalipun terdetik niat untuk ketepikan perempuan paling agung di dalam hidup. Tetapi ibu kan sudah sedia tahu, degil aku bukan sedikit dan ego aku bukan rendah.

Aku sudah terlalu malu untuk menangis di hujung telefon, ibu pujuk, di atas riba, ibu usap, di dalam peluk, ibu cium. Dan di rebah sujud di hujung kaki, ibu sambut. Aku malu.


Sumpah ibu, hanya kerana itu.

No comments: