Manusia penuh dengan khilaf, itu aku. Penuh khilaf hingga tak terbilang dengan jari-jemari, bahkan seluruh bintang di langit jauh sedikitpun tak terbanding. Jauh terpesong, lari jauh dari lorong yang patutnya aku berlari mengikut arus.
Tapi aku kira telah Kau ketahui ini, telah sedia Kau maklum bahawa masih wujud Kau dalam hati ini, masih belum ada suatu hari pun buat aku lupa bertuhankanMu, walau sombongnya aku seringkali menolak sujud. Belum ada suatu detik pun terlintas dalam hati untuk berpaling dariMu, walau segala janji yang dibuat sejak belum lagi roh bertemu jasad telah aku langgar beribu kali. Kiranya jika Kau buka sekali lagi hati, supaya mampu aku berpatah kembali, supaya terbit rasa bangga menjadi hambaMu lantas memfitrah segala tanggungjawab, menzahir segala kewajipan hanya untukMu.
Sesungguhnya aku merayu.
Aku harapkan dengan seraut wajah dan dua telapak tangan melekat di lantai bumi semoga tahun baru ini tiba dengan segala rahmat, supaya mampu aku dekatkan diri denganMu. InsyaAllah.
No comments:
Post a Comment